Monday, September 29, 2008

Lagi pasal pinggan

Syabas kepada Ketua Menteri Melaka, YAB Dato' Seri Mohd Ali Rustam mengambil langkah pertama memperkenalkan penggunaan pinggan yang "edible" di rumah terbuka Hari Raya beliau. Dilaporkan beliau telah menempah 20 ribu pinggan dari jenis ini.

The Star melaporkan pinggan biodegradable ini diperbuat dari ubi kayu dan berciri mesra alam sekitar sehingga boleh dimakan.

Tahniah juga diucapkan kepada syarikat yang mencipta dan membuat pinggan biodegradable ini kerana ia mampu menggantikan pinggan-pinggan polistiren yang kerap digunakan oleh para pengusaha/penjual makan di negara kita.

Cuma pada aku setakat manakah para pengusaha/penjual makan di negara kita akan mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dengan menggunakan pinggan biodegradable. Ini kerana ada segelintir pengusaha/penjual makanan hanya mementingkan keuntungan dari aspek kesihatan umum.

------------

p/s - Teringin juga nak cicah dan makan "pinggan dari tapicoa" ni dengan sambil ikan bilis.

Finally it came out

Reported in The Star today regarding consumers fear over melamine utensils. According to CAP melamine ware such as plates and ladles were safe for use, and would not cause death. Even if the melamine utensils leach residue due to extremely high temperatures, it is in a very tiny quantity.

--------------

p/s – Jadi tak payahlah nak gusar sangat apa nak buat dengan pinggan mangkuk melamine kat rumah tu. Selamat digunakan untuk keluarga dan tetamu. Kalau ada tetamu yang berkunjung ke rumah di hari raya ini dan takut gunakan pinggan-mangkuk melamine kita, suruh dia orang bawa pinggan-mangkuk sendiri… hehehe

Salam Aidilftri



Salam Aidilfitri ku ucapkan kepada semua keluarga ku, saudara-mara, rakan-rakan dan juga muslimin-muslimat. Agar Aidilfitri tahun ini membawa keberkatan dan rahmat kepada kita semua.

Maaf zahir & batin.

Friday, September 26, 2008

Mana nak buang pinggan-mangkuk melamin aku

Terkedua aku baca e-mail dari yahoo group menyatakan bahawa amat bahaya menggunakan pinggan mangkuk melamin. Setahu aku yang amat merbahaya adalah bekas makanan dari polistiren kerana ia boleh mendedahkan pengguna kepada masalah kesihatan khasnya risiko kanser. Dan bekas makanan ini kerap digelar sebagai "The White Coffin".
(Laporan berita mengenai bahaya polistiren ini tersiar dalam Kosmo.)



Keracunan dari pinggan melamin pulak dikatakan akibat MELAMINE yang mengandungi 'urea formaldehyde' dan sangat berbahaya kepada kesihatan. Urea Formaldehyde adalah sejenis bahan yang biasanya digunakan untuk membuat bekas barangan electric dan 'insulation' wayar electrik. Bahan ini amat berbahaya jika memasuki badan manusia. Ia boleh menyebabkan masalah sistem penghadaman, masalah pernafasan, batu karang, kegagalan buah pinggang, cancer pundi kencing dan kerosakan sistem pembiakan.

Terlalu saintifik untuk aku fahami. Tetapi aku percaya semua ini berpunca dari isu keracunan melamin di dalam susu dan produk makanan yang berlaku di China baru-baru ini. Isu ini turut mengheret ke pinggan melamin.

Akal cetek aku beranggapan ianya dua isu berbeza. Isu keracunan melamin dalam susu itu adalah akibat pengambilan langsung dan beterusan oleh bayi/kanak-kanak dari susu atau bahan makan tercemar itu.

Sementara pinggan melamin ketika ingin menghasilkannya, ia melibatkan pembakaran bahan tersebut pada tahap suhu yang tinggi. Disebabkan faktor ini maka pinggan melamin tidak boleh dimasukkan ke dalam microwave kerana takut ia pecah dan bahan-bahan tersebut terurai. Tidak pula terlintas dalam pembacaan ringkas aku akan berlakunya pencemaran/keracunan akibat makanan panas yang diletakkan dalam pinggan/mangkuk melamin (kecuali ada yang nak jadi daredevil nak kunyah pinggan melamin tu).

Kita sebagai pengguna perlu menapis segala maklumat yang kita terima khasnya menerusi e-mail. Tambah pulak sekiranya maklumat tersebut berbunyi saintifik tetapi tidak pula disertakan dengan fakta-fakta saintifik yang kukuh. Janganlah pulak akibat dari mail-mail sedemikian rupa maka segeralah kita ke dapur dan humbankan pinggan/mangkuk melanin. Mahu masam muka atau perang dingin dengan bini.

Bayar zakat fitrah pun nak mintak diskaun?

Tergelak aku baca tajuk berita Harian Metro di mukasurat 2, bertarikh 25 September yang berbunyi "Wanita tak dapat diskaun zakat maki amil".

Dilaporkan wanita tersebut telah memarahi amil yang bertugas kerana tidak melayan permintaan beliau untuk mendapatkan diskaun 10 peratus ketika hendak membayar zakat fitrah. Adegan ini berlaku di KL Sentral.

Ini macam punya manusia pun ada. Kenapa perlu minta diskaun kalau kita tahu kita tidak upaya untuk membayarnya. Zakat fitrah adalah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Dan, antara syarat wajib bagi seorang Islam mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah -- "Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya".

Rasulullah SAW ada menyebut dalam hadis baginda yang bermaksud "Pahala puasa Ramadhan tergantung-gantung di antara langit dengan bumi, ia tidak terangkat ke langit kecuali dengan zakat fitrah".

Waduh... jadi penceramah pulak aku berkaitan dengan isu ini. Tapi inilah yang aku rasa berlaku kepada masyarakat kita hari ini, yang terikut-ikut dengan amalan berbelanja di dunia ketika menyambut sebarang perayaan. Setiap kali berbelanja cari barangan yang ada diskaun. Terlalu ghairah sangat kot nak diskaun sampai hak Allah pun nak minta diskuan juga.

Thursday, September 25, 2008

Alahai 10 sen jer


Kerajaan mengumumkan harga petrol diturunkan 10sen berkuatkuasa hari ini. Habis semua suratkhabar keluar muka depan berkenaan penurunan harga petrol ini. Yang tak tersiar di muka hadapan tapi hanya di bahagian ekonomi sesetengah akhbar adalah Harga Indek Pengguna (CPI) pada 8.5 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 26 tahun. Peningkatan ini disebabkan berlakunya peningkatan dalam semua kumpulan kecuali pakaian dan kasut (clothing & footware) serta komunikasi (Communications). Yang lainnya semua meningkat iaitu kumpulan transport (+8.6%); food & non-alcoholic beverages (+7.5%); housing, electricity, water, gas and other feuls (+1.4%). Menurut laporan Jabatan Statistik kenaikan ini adalah kerana food & non-alcoholic beverages iaitu sebanyak 11.7% berbanding dengan tahun 2007.

Jadi kalau ikutkan trend CPI yang meningkat ini, penurunan harga petrol sebanyak 10sen tidak memberi apa-apa kesan kerana rakyat masih lagi terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap bahan makanan dan perkhidmatan yang lain. Jadi betullah kenyataan bahawa kita kini mengalami kadar inflasi yang tinggi dan agak sukar untuk dikawal oleh pihak Kerajaan, lebih-lebih lagi dengan nilai matawang kita yang tidak menentu dan sentiasa turun berbanding dengan dollar Amerika.

---------------------
p/s - Saja aku ambil petikan The Sun berkaitan harga petrol ini yang tersiar di muka 2. Muka hadapannya berkaitan kes arahan uji semua bahan makanan keluaran China akibat isu keracunan melamine.
http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=26008

Tuesday, September 23, 2008

Majlis Buka Puasa

Gambar-gambar para penghuni Rumah Nur Hikmah di majlis berbuka puasa anjuran PjH dan Kelab Sukan & Rekreasi PjH.


Bila setiap kali Ramadhan tiba, opis aku akan mengadakan majlis berbuka puasa di kalangan staff. Secara tradisi juga, kami akan bekerjasama dengan Kelab Sukan untuk menjemput rumah anak yatim di sekitar Lembah Kelang untuk turut berbuka sama. Di majlis tersebut juga company aku dan juga warga kerjanya akan mengutip sedikit dana untuk didermakan kepada pusat jagaan tersebut dan juga memberi sedikit duit raya kepada para penghuninya.

Tahun ini kami tak pergi jauh-jauh... Pada 18 Ramadhan lalu, kami jemput anak-anak dari Pusat Jagaan/RumahNur Hikmah di Kajang. Lebih kurang 46 orang semuanya. Mereka ini terdiri dari anak-anak sama ada tiada ibu atau bapa, dan tidak upaya dijaga oleh ahli keluarga/waris mereka. kerana kemiskinan Di antara anak-anak ini, ada seorang kanak-kanak berusia 2 tahun (tak ingat namanya) yang mencuit perasaan sebahagian besar dari rakan-rakan opis aku. Dalam usia semuda ini anak kecil tersebut aku lihat berupaya berdikari. semua yang dibuat, dilakukan sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Nak naik bas pun dia panjat tangga bas tu sendiri tak mahu dibantu.

Aku dimaklumkan bahawa kedua-dua ibu-bapa anak kecil ini adalah penagih. Ayah menghilangkan diri manakala ibunya sedang dirawat di pusat pemulihan. Kerana tidak seorang pun waris dikatakan sangup menerima anak kecil ini, maka si ibu tiada pilihan terpaksa menyerahkan untuk dijaga di Rumah Nur Hikmah ini. Si ibu berikrar untuk cepat pulih agar dapat diketemukan semula dengan si anak tadi.


Si kecil (bertudung hijau) sedang menikmati juadah... bersama dengan seorang lagi rakan senasib yang dianggap "kakak"...

Sekiranya ada sesiapa yang berminat untuk menjenguk atau memberi sumbangan bolehlah berkunjung ke Rumah Nur Hikmah, Lot 11552, Jalan 18, Taman Mesra, 43000 Kajang.

Friday, September 19, 2008

Pertandingan Fotografi


Anda ada kamera? Dan, ingin menang hadiah? Sertailah pertandingan fotografi anjuran Putrajaya Holdings dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya. Pertandingan ini dilangsungkan selama sebulan iaitu bermula dari 15 September hingga 15 Oktober 2008, bersempena dengan Festival Kesenian Putrajaya. Untuk keterangan lanjut, bolehlah layari laman web www.putrajayartsfest.com.my

-------------------

p/s - Iklan siket. Company aku sedang menganjurkan pertandingan fotografi kepada mereka yang dikira "suka-suka ambil gambar". Temanya mudah je... "Putrajaya - Kota Kemeriahan!" (Putrajaya - The Vibrant City!). Ambillah gambar-gambar cantik, menarik atau unik untuk menggambarkan kemeriahan atau the "vibrant of Putrajaya". Silap-silap hari boleh menang dan dapat duit free.

Thursday, September 18, 2008

Betul ke Teksi Malaysia antara yang terburuk


Laporan berita antarabangsa AFP menyebut... "Malaysia's 'worst in the world' taxis tarnish national image"

... "Flat rate, flat rate, no metre," one driver insists as the tourists try to find a cab to take them to their hotel, less than two kilometres (1.2 miles) away.

Anxious to escape the baking heat, they agree to pay 25 ringgit (7.22 dollars) for a trip that would have cost less than three ringgit on the meter."

(boleh baca di sini... http://malaysia.news.yahoo.com/afp/20080918/tts-malaysia-transport-taxi-506e7eb.html)

Betul ke berita ni? Jangan curah pasir kat periuk nasi orng lain. Aku rasa tak semua pemandu teksi di Malaysia macam ni. Hanya segelintir yang bertindak jahat tetapi telah menyebabkan profesion sebagai pemandu teksi dan industri kereta sewa tercemar.

Apa yang perlu, pihak-pihak berwajib perlu lebih agresif untuk mengambil tindakan terhadap pemandu teksi yang aku anggap durjana ini. Tindakan mereka yang menipu ini perlu dibanteras segera agar imej negara tidak tercemar.

----------

p/s - Aku masih ingat sedikit masa dahulu ketika ditugaskan untuk membuat promosi ke sebuah negara bekas jajahan Soviet, bila kami tahan teksi dari airport untuk ke hotel, pemandu teksi tu nak bayaran USD100. Mak oii, aku cakap mahalnya. Setelah beberapa kali tawar-menawar, kami setjuj bayar USD30 atau USD40 sahaja untuk tiga orang bagi perjalanan tak sampai 3 kilometer. Tapi kami tak pula anggap teksi negara tersebut antara yang terburuk, walaupun teksinya adalah teksi lama dan cermin hadapan teksi itu ada garis retak.


Wednesday, September 17, 2008

Laporan media asing menyebut harga minyak mentah dunia jatuh lagi, kini berada di bawah USD92.00 per tong. Petikan dari laporan AFP :

The price of crude oil has now plunged by almost 40 percent since striking record highs above 147 dollars per barrel in July.

London’s Brent North Sea crude for delivery in November tumbled as low as 89.80 dollars per barrel in Asian trading. The new November contract later stood at 91.34, down 2.90 dollars. The October contract had expired Monday at 92.38.

Elsewhere on Tuesday, New York’s main contract, light sweet crude for October delivery, dived 2.79 dollars to 92.92 dollars a barrel.


Tapi kenapa lambat sangat Kerajaan ataupun Kementeri Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan harga baru petrol dan diesel di negara kita. Ketika harga bahan bakar naik mendadak tempoh hari, begitu cepat diumumkan kenaikan. Semasa nak pilihanraya kecil Permatang Pauh, cepat pulak diumumkan turun 15 sen.

Tempoh hari, Menteri bertanggungjawab ada menyebut jika harga pasaran hadapan minyak jatuh lagi (ke paras USD110), harga minyak di negara ini akan diturunkan lagi, setidak-tidaknya sebelum hari raya.

Aku rasa ini masa terbaik untuk mengumumkan penurunan harga minyak, iaitu "sebelum hari raya" dan ketika sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita sedang sibuk membuat persiapan menyambutnya. Tak payahlah nak tunggu "sebelum hari raya" tu pada 29 atau 30 September. Umumlah sekarang Datuk Shahrir oooiiii...

Monday, September 15, 2008

Duku oh Duku

Weekend lepas aku balik Muar... kampung wife aku. Saja bawa anak-anak aku balik kampung rasa macam mana berbuka puasa dengan nenek Haji & nenek Hajah (panggilan untuk atuk nyang) mereka.

Tapi sebelum itu kami dan keluarga adik ipar aku singgah dulu kat Tanjung Gading, Kesang Laut untuk ambil duku. Alahai, melacak-lacak buah duku. Sesampai jer, aku dan anak aku pun panjat pokok duku. Tulah pertama kali anak aku yang sulung panjat pokok duku, manakala aku pulak hanya mempraktikkan "skill" lama yang telah aku tinggalkan. Dalam bulan puasanya, hanya boleh petik dan ambil bau jerlah jawabnya. Lepas tu biras aku pun join sama panjat pokok. Yang lain-lain, tunggu kat bawah jer dan punggut untuk dikumpul serta masukkan dalam kampit beras.




Kebun duku tu boleh tahan luasnya. Kalau tak silap ada lebih kurang sekitar 60-70 batang pokok lama yang berusia lebih dari 70 tahun. Ia bersempadan dengan kebuh duku atuk-atuk saudara wife aku yang lain.

Muar sekarang ini telah melacak dengan duku. Harga jatuh sampai ada yang jual RM10 untuk 10 atau 11 kilo. Malah, sesetengah tempat sampai ada yang jual RM10 untuk 15 kilo. Harga yang diambil oleh peraih di kebun 40 sen sekilo. Tapi kalau kita beli duku kat Kajang atau Semenyih, harga jadi RM2 sekilo. Punyalah beza.

Yang bestnya duku Tanjung Gading, rasanya manis dan kulit lebih nipis. Habis penuh dua bijik kereta dengan buah duku hari tu. Balik Bukit Serampang, atuk aku senyum jer dengar cucu-cicitnya dok panjat pokok duku. Mereka rasa berbaloi sebab tak nak pajakkan kebuh tersebut kepada peraih dengan alasan nak bagi anak-cucu-cicit merasa makan buah.

Gambar anak aku atas pokok duku.
Gambar aku pulak, simpan jer ler... hehehe

Friday, September 12, 2008

Malaysia ada pakar cipta meriam

Tergelak aku baca berita dalam Harian Metro apabila seorang remaja berusia 17 dari Melaka mencipta meriam besi. Remaja tersebut telah menggunakan kepakarannya sebagai juru kimpal bagi mencipta meriam besi ini yang diperbuat dari tiang telefon dan tiang jaring badminton. Tindakannya itu bagaimanapun berjaya dihidu oleh penduduk kampung, lalu melaporkan kepada pihak polis, sehingga membawa tertangkapnya beliau.

Setakat ini dilaporkan telah berlaku dua atau tiga kes kanak-kanak cedera akibat bermain mercun / bunga api buatan sendiri. Malahan ada yang cedera agak teruk akibat terkena serpihan kaca yang dicampurkan sebagai "ramuan" tambahan dalam bunga api/mercun buatan mereka tu.

Bila aku baca berita/cerita sedemikian aku teringat kisah-kisah masa aku kecil-kecil dulu. Kami pun ada gak main bunga api dan mercun. Kadang-kadang kita orang buat meriam katak, iaitu buat lubang dalam tanah, kemudian ditutup di bahagian atas dengan tanah. Berdentum gak bunyinya. Bagi kumpulan remaja, mereka lagi hebat dengan membuat meriam besi yang dicilok dari tiang "bus stop". Habis satu kampung diusungnya meriam besi tu dan sibuklah AJK kampung mengejar mereka kerana mengganggu jemaah hendak sembahyang terawih.

Yang peliknya, masa kami buat semua tu, tak pulak ada yang cedera. Kalau tercederapun sikit saja dan buat senyap jer. Ini kerana kalau mak-bapak dapat tahu, mesti kena taruk lagi... dan aku pulak, setakap baju berlubang-lubang kena percikan bunga api tu biasalah.

Tetapi sekarang ni macam-macam cerita boleh kita baca dan lihat, ada yang putus jari, buta mata, terbakar atau melecur sini sana etc... Siap keluar berita dengan gambar dalam newspaper atau berita TV...

Yang lebih menghairankan aku, rata-rata yang kreatif tetapi tercedera ini adalah terdiri anak Melayu-Islam. Takut menjelang tahun 2020 ramai remaja atau lelaki melayu-Islam yang cacat. Jadi, mak bapa perlu main peranan. Perhatikan gerak-geri anak-anak kita ketika mereka bermain bunga api. Kalau boleh, tak payah beli langsung kerana membazir. Tetapi kalau teringin juga tunaikan hajat anak-anak (sebab kita pun perangai lebih kurang macam tu jugak masa kecik), beli jer bungai api cap kucing tu.

Ramadhan bulan membuat ibadah dan bukan bulan mendapat padah akibat cuai.

---------------

p/s - Alangkah baiknya kalau remaja Melayu yang kreatif ini berminat untuk belajar cara-cara buat bunga api yang hebat sehingga boleh mewakili negara dalam acara Malaysia International Fireworks Competition. Pertandingan baru-baru ini yang diadakan di Putrajaya, pasukan Malaysia dapat tempat kedua di belakang Sepanyol.

Thursday, September 11, 2008

Loya tekak nak makan tauhu bakar


Loyak tekak aku bila bacan paper Kosma bertajuk "Guna air berlumut proses tauhu".
Kosmo melaporkan sebuah kilang tauhu di Cheras beroperasi tidari jauh dari 15 meter dari kandang anjing. Paling jijik, terdapat ribuan lalat menghurungi tauhu-tauhu yang disedang diproses. Peralatan yang digunakan untuk memproses juga telah berusia dan berkarat.
Air yang digunakan untuk proses tauhu diambil dari kolam takungan yang airnya telah berlumut dan berwarna hijau.
Tauhu-tauhu yang diproses ada logo halal pulak tu.
Apa yang aku geram, kompoun yang dikenakan terhadap pemilik kilang tauhu tu hanyalah RM1,000. Terlalu kecil nilainya berbanding dengan keuntungan yang dikaut oleh pengusaha kilang tersebut. Yang lebih aku geram, pastinya tauhu-tahu dari kilang ini dijual kepada umat Islam di sekitar Selangor atau Lembah Kelang. Pengusaha kandang anjing tu pulak didenda RM25,000 kerana beroperasi secara tidak berdaftar. Kompounnya lebih besar pulak tu.
Aku rasa pihak-pihak berkuasa perlu mengenakan kompoun yang lebih tinggi kepada lanun-lanun pengusaha makanan yang menjalankan operasi mereka secara tidak bersih. Tindakan mereka yang hanya mementingkan keuntungan perlu diajar. Denda dan arahan tutup kilang dan mengemukakan permohonan baru untuk beroperasi boleh mengajar lanun-lanun ini untuk mengormati hak para pengguna.
p/s - Patah selera aku nak beli tauhu bakar sempena buka puasa hari ini.

Selangor continue to give free water

Tan Sri Khalid reassured that the rakyat Selangor will still enjoy 20 cubic metres of free water. And, he said that this is a permanent agreement. We can read regarding this news in today's paper.

Tahniah Tan Sri and syabas for sticking to your promise. What else can I say about SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor), tidak syabas langsung. As what the MB said, SYABAS should stick to its task that is providing good/best service to the customers, rather thinking about the state administrative matters.

Langkah kerajaan negeri ini wajar disokong. Walaupun jumlah tersebut tidak seberapa bagi sesetengah pihak, tetapi aku percaya ia banyak membantu rakyat Selangor khasnya untuk mereka yang dari golongan berpendapatan rendah.

Wednesday, September 3, 2008

Minyak turun, harga barang kekal

Sebelum Pilihanraya Kecil Permatang Pauh hari tu, Kerajaan telah mengumumkan harga minyak turun 15 sen (walapun janji hanya akan umum pada setiap 30 hari bulan setiap bulan) ... dari 2.70 jadi RM2.55 seliter. Bukan aku tak nak berterima kasih kepada Kerajaan cuma aku rasa harga tersebut boleh diturunkan lagi... tambahan harga minyak mentah di pasaran kini kurang dari USD110 per tong. Tapi Menteri yang bertanggungjawab dah buat statement bahawa harga minyak sekarang akan kekal sehingga penghujung bulan ini


Yang aku sakit hati sangat ialah bila minyak naik, harga barang pun turut naik melambung-lambung. Tetapi bila harga bahan bakar tu turun sikit, tak da pula kedengaran harga barangan turun atau akan diturunkan. Maintain jer. Yang aku gusarkan adalah sekiranya pihak Kerajaan terpaksa naikkan baik harga minyak jadi RM2.70, pasti harga barang naik lagi.


Kerjaan asyik dok pantau jer harga barangan tetapi tiada tindakan yang konkrit diambil untuk memastikan harga barangan rendah. Malah, harga beras sampai sekarang tidak berjaya diturunkan ke paras seperti dulu. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pun ada buat statement dalam dewan rakyat harga beras tidak dapat (atau tak mahu) diturunkan walaupun harga di pasaran dunia telah turun sikit.

Aku pasti di antara petani, pengilang atau pengedar, ada sekelompok manusia yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan besar dari situasi semasa ini. Dan yang lebih pasti, kita sebagai rakyat suka atau tidak, akan menanggung kesan kenaikan harga barangan ini. Nilai gaji atau duit kita kini makin mengecil.

Tiada panggilan sepenting seruan Illahi

Lama gak aku tak hadapi blog ni. Sibuk siket ngan kerja-kerja office dan masa cuti sekolah hari tu, ambil peluang cuti-cuti Malaysia bersama keluarga dan rakan-rakan ke Langkawi. Lepas tu, aku sambung cuti untuk balik Muar jengah Atuk Haji dan Atuk Hajjah wife aku.
Tapi bukan tu yang aku nak cerita. Yang nak diceritakan adalah dalam tempoh sebulan ni aku telah ziarah tiga kematian. Dan kitanya dengan poster/signiage di atas.
Pertamanya, mak saudara aku yang meninggal di Petaling Jaya. Ketika kami sedang menunaikan sembahyang jenazah di sebuah masjid di Petaling, jelas kedengaran ringing tone berbunyi. Yang paling menyakitkan telinga ringing tone tu lagu si Mawi... "Lagu Jiwa, Lagu Cinta". Lebih teruk lagi, telefon yang berdering tu milik sang Imam yang sedang mengimamkan kami sembahyang jenazah. Apa nak dikata, pastinya terggangu tumpuan jemaah ketika bersembahyang, lebih-lebih lagi orang macam aku yang imannya lebih nipis dari kulit bawang. Nak ditegur kang, jadi lain cerita pulak.
Kedua, sekitar minggu lalu, aku ziarah rakan office aku yang kehilangan ibu tercintanya di Bandar Kinrar. Sedang aku dan rakan-rakan duduk di surau menunggu menyembahyangkan jenazah, terdengar ringing tone ... "Lagu Jiwa, Lagu Cinta" tu lagi. Aku cepat-cepat toleh ke belakang dan melihat Sang Iman yang sama sedang mengambil wuduk. Dalam hati aku, sudah nanti dia buat lagi... bagimanapun, Alhamdulillah, ketika bersembahyang tidak berbungi handphone si Sang Imam... tetapi seorang-dua jemaah pula buat hal dengan ringing tone yang macam-macam bunyi.
Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini? Pelbagai peringatan termasuklah poster/signage telah dipasang di surau/masjid, tetapi kenapa perkara ini masih berlaku. Tidakkah kita sedari bahawa handphone yang berbunyi, apatah lagi kalau ia berbentuk lagu, boleh mengganggu tumpuan jemaah yang ingin menyahut seruan Ilahi tersebut. Tidak kiralah ianya sembahyang jenazah yang hukumnya fardhu kifayah, atau sembahyang Jumaat mahupun sembahyang berjemaah lima waktu yang biasa... Aku rasa tidak rugi sesen puan kalau kita off or put on silent mode. Jangan buat benda yang tak berfaedah dan dapat dosa kering.
Kematian ketiga yang aku ziarah adalah semalam di Cheras. Ibu kepada rakan office aku juga dan beliau beragama Budha. Dari pengalaman lalu, sebaik sahaja aku dan rakan-rakan memasuki dewan, kami off handphone. Bukan apa, sebagai tanda hormat dan tidak ingin mengganggu suasana khasnya ketika mereka dalam kesedihan.
Ingatan aku kepada diri ku sendiri dan juga kepada mereka yang cintakan Islam, hayati poster/signage tajaan TM yang berbunyi "Tiada panggilan sepenting SERUAN ILAHI". Secanggih mana sekali handphone yang kita guna, dan sesedap mana sekalipun ringing tonenya, canggihlah Islam itu dan sedap lagi khalimah-khalimah Allah SWT.